Pygmy Borneo ditemui mati ditembak

KOTA KINABALU: Bangkai seekor gajah betina jenis pygmy Borneo ditemui sedang mereput dengan kesan tembakan di kepala dalam kejadian di sebuah kawasan pembalakan berhampiran Tongod, Beluran, baru-baru ini.

 

Dalam kejadian 25 Ogos lalu itu, bangkai haiwan berkenaan difahamkan ditemui oleh sekumpulan pekerja syarikat pembalakan yang kemudiannya melaporkan kejadian tersebut kepada pihak Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah. Pegawai Perhubungan Awam JHL Sabah, Siti Nur'Ain Ampuan Acheh berkata, sepasukan anggota kemudiannya dikerahkan ke lokasi kejadian untuk membuat pemeriksaan lanjut dan membawa bangkai gajah itu bagi tujuan pemeriksaan.

"Hasil daripada bedah siasat pada 27 Ogos lalu, kita percaya gajah berkenaan sudah mati sejak beberapa minggu lalu sebelum berjaya ditemui di lokasi berkenaan.

 

"Terdapat satu kesan tembakan di tempurung kepala gajah betina itu yang mana kita dipercayai akibat senapang patah namun tiada sebutir peluru berjaya ditemui," katanya.

 

Menurut Siti Nur'Ain lagi, siasatan awal pihaknya turut mendapati gajah berkenaan mengalami kecederaan serius di kepala akibat tembakan tersebut dan mati di tempat kejadian.

Untuk rekod, sehingga ke hari ini, JHL Sabah merekodkan sebanyak 25 ekor gajah dilaporkan mati dari awal tahun sehingga bulan ini.

 

Sumber: Ruzaini Zulkepli, Astro Awani, 29 Ogos 2018.

 

News Date: 
29 August 2018